PLKN 3.0: Program Latihan Khidmat Negara 2024
Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN 3.0 yang sebelum ini telah dimansuhkan pada tahun 2018, dengan kerangka baharu yang telah ditambahbaik.
Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 9 Oktober yang lepas dalam Dewan Rakyat. Keputusan ini diambil bagi melahirkan lebih ramai remaja yang berdisplin dan mempunyai semangat patriotik.
Bagi anda yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang Sejarah Program Latihan Khidmat Negara dan pembaharuan baharu yang dilakukan bagi siri 3.0 ini, teruskan membaca artikel ini sehingga ke penghujung artikel.
Apa itu PLKN?
Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN merupakan kursus latihan yang digagaskan oleh agensi kerajaan persekutuan Malaysia pada tahun 2002 dengan pembentukan Jabatan Latihan Khidmat Negara dan telah dimulakan buat kali pertama pada 2004.
Program ini dijalankan untuk meningkatkan disiplin diri remaja di Malaysia dan dalam masa meningkatkan semangat patriotik dalam diri mereka. Oleh itu, peserta yang terlibat dalam program ini, adalah pelajar lepasan SPM.
Struktur Program Latihan Khidmat Negara ini merangkumi tiga elemen iaitu:
- Elemen Ketenteraan
- kepimpinan
- ketahanan diri
- keyakinan dan pembinaan kumpulan/ pasukan
- aktiviti asas kawad
- abseiling
- latihan pandu arah
- merempuh halangan
- pengenalan ikhtiar hidup
- jungle tracking
- menyeberang sungai
- pengenalan kepada senjata api
- Elemen Kenegaraan
- sejarah negara
- kedaulatan dan maruah negara
- struktur dan sistem dunia
- Malaysia dan isu antarabangsa
- ancaman keselamatan
- ketahanan nasional
- Elemen Khidmat Masyarakat
- keceriaan di pusat latihan
- khidmat komuniti
- pengalaman di agensi awam
- penghijauan bumi
- kempen kitar semula
- tunjuk ajar akademik
- gotong-royong
- projek masyarakat desa
- kajian kumpulan
- pemahaman sosial tempatan
- pemulihan alam sekitar,
- taklimat kesihatan
- menderma darah
Namun begitu pada tahun 2018, program ini telah dimansuhkan kerana menurut Syed Saddiq yang merupakan ahli parlimen pada waktu itu, PLKN ini, telah disalahguna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu dan dalam masa yang sama menggunakan kos perbelanjaan yang tinggi.
Dapatkan Komik Misi PLKN yang ditulis oleh Afiq dan Nazry bagi meningkatkan pengetahuan anda serba sedikit tentang program ini.
Pelaksanaan PLKN 3.0 (2024)
Pada 9 Oktober 2023 yang lepas, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Dewan Rakyat telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk meneruskan PLKN ini dengan menggunakan kerangka latihan yang berbeza.
Program Latihan Khidmat Negara 3.0 yang akan dilaksanakan kali ini akan menggunakan 13 kem tentera bagi mengurangkan kos, dan latihan kali ini hanya akan dijalankan selama 45 hari berbanding sebelum ini yang dijalankan selama 3 bulan.
PLKN 3.0 ini juga akan menggunakan modul baharu iaitu kombinasi elemen ketenteraan sebanyak 90% dan elemen kenegaraan sebanyak 10%. Lokasi latihan kali ini juga akan menggunakan kem latihan milik kerajaan seperti Kem Wataniah AngkatanTentera Malaysia (ATM) dan kem latihan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Maklumat Lanjut
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang PLKN 3.0 ini anda boleh mendapatkan maklumat tambahan melalui saluran di bawah:
- Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia
- Laman Web Rasmi Kementerian Pertahanan Malaysia