SOP pemakaian pelitup muka yang terkini telah diumumkan oleh pihak kerajaan dan akan mula berkuatkuasa mulai 5 Julai 2023 ini.
Bersama SOP pemakaian pelitup muka ini, kerajaan juga telah mengumumkan berkenaan tempoh kuarantin bagi pesakit Covid-19 terbaru.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan hal ini, pastikan anda membaca artikel ini sehingga ke penghujung.
SOP Pelitup Muka 2023
Sejak berlakunya penyebaran wabak Covid-19 pada akhir tahun 2019, kerajaan Malaysia telah mewajibkan penggunaan pelitup muka di semua kawasan awam bagi semua rakyat Malaysia agar dapat membendung penularan wabak tersebut.
SOP pemakaian pelitup muka ini telah dilonggarkan apabila kes Covid-19 di Malaysia mengalami penurunan, di mana pemakaian pelitup muka di tempat awam tidak lagi diwajibkan, namun pemakaian pelitup muka masih digalakkan.
Terbaharu, Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa telah mengumumkan mengenai perubahan SOP terkini di mana pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pengangkutan awam berkuat kuasa 5 Julai 2023.
Perubahan yang dibuat kerajaan ini selari dengan pengumuman yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO), di mana mereka menyatakan bahawa status penyakit Covid-19 tidak lagi berada pada kategori kecemasan kesihatan awam yang menjadi kepentingan Antarabangsa.
Walaupun kelonggaran telah diberikan, kerajaan amat menggalakkan penggunaan pelitup muka bagi individu-individu berisiko tinggi seperti ibu mengandung, pesakit kronik dan warga emas.
Penggunaan pelitup muka ini juga sangat digalakkan di dalam pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, dan teksi sebagai langkah berjaga-jaga.
Tempoh Kuarantin Covid-19 Terkini
Selain mengeluarkan pengumuman berkenaan SOP pemakaian pelitup muka terkini, kerajaan juga telah mengumumkan berkenaan tempoh kuarantin Covid-19 yang turut mengalami perubahan dan pengubahsuaian sesuai dengan keadaan semasa.
Kerajaan telah memutuskan bahawa tempoh kuarantin atau Home Surveillance Order (HSO) bagi pesakit Covid-19 akan dikurangkan daripada 7 hari kepada 5 hari bermula 5 Julai 2023 ini.
Walaupun tempoh HSO telah dikurangkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalakkan pesakit Covid-19 mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan perkara berikut selama 10 hari dari tempoh gejala bermula:
- Memakai pelitup muka di kawasan awam.
- Elakkan dari berada di tempat yang sesak.
- Membuat perjalanan yang perlu sahaja.
- Sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitiser.
- Elakkan melawat kumpulan berisiko tinggi (Warga emas, kanak-kanak, pesakit diabetis, dan sebagainya).
Maklumat berkenaan SOP tempoh kuarantin ini juga boleh diperoleh melalui aplikasi MySejahtera.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut berkenaan SOP pemakaian pelitup muka dan tempoh kuarantin bagi pesakit Covid-19 yang terkini, anda boleh dapatkan di laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
Baca juga: Klinik Kesihatan Malaysia dan Waktu Operasi Baharu