tempat menarik di penang 2018

Senarai 30+ Tempat Menarik Di Penang (Kemaskini Mac 2018)

Jika sebelum ini kami kongsikan senarai tempat menarik di Melaka, kali ini jom kita jalan-jalan ke tempat menarik di Penang. Artikel ini telah dikemaskini Mac 2018 supaya percutian anda ke Pulau Pinang kali ini lebih bermakna.

Pulau Pinang boleh dianggap Chinatown utama di Malaysia kerana majoriti penduduknya adalah berbangsa Cina.

Kalau sentuh saja tentang percutian di dalam negara, Pulau Pinang pasti jadi sebutan.

Negeri ini memang cukup popular bukan sahaja kerana tempatnya yang cukup menarik, malah makanan istimewa yang ada hanya di negeri ini sentiasa menjadi buruan pelancong.

Tambahan pula, negeri dengan gelaran pulau mutiara ini turut tersenarai dalam destinasi yang wajib dilawati oleh CNN, Los Angeles Times dan Forbes.

Negeri ini bukan sahaja kaya dengan sejarah, malah terdapat banyak tarikan terbaru yang menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara. Berikut merupakan beberapa tempat menarik yang perlu dilawati untuk percutian anda seterusnya di Pulau Pinang.

Tempat Menarik di Penang 2018

Antara destinasi percutian menarik di Penang ialah:

1. Fort Cornwallis

fort cornwallis penang

Lokasi bersejarah ini memang cukup sinonim dengan Pulau Pinang. Terletak bersebelahan dengan Padang Kota Lama, kubu ini menjadi saksi pada pendaratan Francis Light pada tahun 1876. Kubu yang dikelilingi meriam ini juga mempunyai beberapa bangunan yang masih utuh sehingga ke hari ini seperti tempat penyimpanan senjata, gereja dan rumah api. Bila sudah berada di sini, jangan lupa untuk menikmati mee sotong dan pasembur popular di medan selera Padang Kota Lama.

Alamat : Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang

2. Rumah P. Ramlee

rumah p ramlee pulau pinang

Siapa yang tidak kenal dengan seniman agung Tan Sri P.Ramlee? Filem-filem dan lagu-lagunya masih dimainkan dan tidak lapuk sehingga ke hari ini. Rumah kayu beratap rumbia dengan satu bilik, dapur dan ruang tamu ini merupakan tempat kelahiran P. Ramlee. Dengan muzik ciptaan P. Ramlee yang dimainkan, pengunjung juga dapat mengenali tokoh ini dengan lebih dekat melalui pameran barang-barang peribadi beliau, gambar-gambarnya serta dapat merasai suasana tinggal di rumah Melayu tradisional dengan perkakas rumah lama.

Alamat : Lot 2180, Jalan P. Ramlee, Taman Kampar, 10460 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 9.00 pagi – 5.30 petang

3. Masjid Kapitan Keling

masjid kapitan keling penang

Masjid berkubah hitam ini juga merupakan antara bangunan bersejarah yang ikonik di Pulau Pinang. Masjid yang terletak di tengah-tengah bandar Geogetown ini adalah penempatan India Muslim pertama yang dibina pada 1801 dan adalah masjid tertua di Pulau Pinang. Di depan masjid ini jugalah lokasi nasi kandar beratur yang cukup terkenal untuk anda makan malam. Masjid ini juga cukup strategik kerana jaraknya dengan kawasan pelancongan lain di Georgetown seperti Little India dan seni jalanan Lebuh Armenian hanya beberapa minit berjalan kaki.

Alamat : 14, Jalan Buckingham, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang

4. Muzium Pinang Peranakan

muzium pinang peranakan

Selain India Muslim, Pulau Pinang juga terkenal dengan etnik Baba Nyonya atau juga dikenali sebagai Peranakan. Sebuah rumah agam dua tingkat di Lebuh Gereja telah ditukar menjadi muzium untuk mempamerkan budaya dan gaya hidup kaum ini. Dari hiasan dalaman rumah, pameran pakaian dan barangan antik, pengunjung dapat mempelajari dengan lebih mendalam lagi akan budaya Baba Nyonya. Khazanah yang tersimpan di sini juga menunjukkan sedikit ciri-ciri Eropah kerana penempatan mereka semasa penjajahan kolonial British.

Alamat : 29, Church St, Georgetown, 10200 George Town, Penang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 9.00 pagi – 5.30 petang
Harga Tiket : RM20.00 (Dewasa), Kanak-kanak masuk percuma.
No. Telefon : +604-2642929

5. Muzium Perang

muzium perang penang

Dahulunya merupakan kubu pertahanan semasa penjajahan British, kini diubah menjadi Muzium Perang buat pengunjung yang ingin menghayati perjuangan perajurit negara daripada penaklukan kuasa luar. Kubu yang dibina pada tahun 1930-an ini juga pernah diduduki oleh tentera Jepun kerana kedudukan Pulau Pinang yang strategik. Kubu ini lengkap dengan pelbagai fasiliti ketenteraan seperti kubu peluru, pusat logistik, meriam, kuarters, rumah masak dan pusat perubatan. Yang menariknya lagi tentang muzium ini ialah ia mempamerkan replika tali gantung yang digunakan kepada jeneral Jepun dihukum kerana jenayah perang pada 1946. Muzium ini juga dibuka sehingga lewat malam bagi pengunjung merasai pengalaman berada dalam kubu pada waktu malam. Muzium ini juga terkenal kerana tersenarai dalam antara 10 lokasi paling seram dalam asia melalui dokumentari National Geographic “I Wouldn’t Go In There” pada tahun 2013.

Alamat : No Lot 1350, Mukim 12, 11960 Batu Maung, Pulau Pinang, 11960 Batu Maung, Penang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 9.00 pagi hingga 11.00 malam
Harga tiket : RM20 (Dewasa), RM10 (Kanak-Kanak)
No. Telefon : +60 4-644 8015

6. Entopia Butterfly Farm

entopia penang

Taman Rama-Rama ini memang cukup terkenal di kalangan warga Pulau Pinang. Setelah mendapat sentuhan baru pada tahun 2016, kini taman rama-rama dibuka semula buat umum dengan tambahan tarikan terbaru seperti permainan interaktif yang menarik di ruangan tertutup dan aktiviti lain yang dianjurkan oleh Entopia. Kunjungan ini amat sesuai buat pelancong yang datang dengan anak-anak bagi mengenali serangga, reptilia dan haiwan dengan lebih dekat.

Alamat : 830, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, 11050, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Isnin hingga Ahad, 9.00pagi hingga 5.30 petang
Harga Tiket : Dewasa (MyKad) RM39/ Kanak-kanak 4 tahun ke bawah masuk percuma.
No. Telefon: +60 4-888 8111

7. Escape Outdoor Park

escape penang

Inilah tempat yang paling sesuai buat penggemar aktiviti lasak. Taman tema outdoor ini mempunyai 20 tarikan permainan outdoor yang membawa anda kembali kepada zaman kanak-kanak. Antara tarikannya yang menarik ialah Pengunjung pasti seronok mencuba aktiviti mencabar yang memacu adrenalin seperti Flying Lemur, Kite Flyer dan Atan’s Leap. sambil dikelilingi keindahan alam semulajadi. Pengunjung juga boleh berkhemah di sini dengan tapak perkhemahan yang lengkap dengan kemudahan seperti tandas dan alatan untuk aktiviti barbeku. Potongan harga tiket sehingga 50% boleh didapati dengan pembelian dalam talian melalui laman sesawangnya.

Alamat : 828, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, 11050 Tanjung Bungah, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka Selasa hingga Ahad (Isnin Tutup); 10.00 pagi – 6.00 petang
Harga Tiket (Harga walk-in) : RM136.00 (Dewasa), RM 90.00 (Warga Emas & Kanak-Kanak 4 tahun ke atas), Masuk Percuma untuk Kanak-Kanak 3 tahun ke bawah.
No. Telefon : +604-881 1106
Laman Web Rasmi : www.escape.my

7. Avatar Secret Garden

Avatar Secret Garden yang terletak di Tanjung Tokong menjadi antara tarikan terbaru yang terhangat di Pulau Pinang. Suasana di sini dihidupkan dengan lampu indah membawa anda kepada alam fantasi Avatar yang berwarna-warni. Jangan lepaskan peluang untuk bergambar dengan latarbelakang taman cahaya yang serba cantik. Di sekitarnya pula ada banyak restoran makanan laut buat santapan pengunjung. Masuk adalah percuma!

Alamat : 336, Jalan Tokong Thai Pak Koong, Tanjung Tokong, 11200 Tanjung Bungah, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari; 8.00 pagi hingga 12.00 malam

8. Made in Penang Interactive Museum

Bagi yang suka bergambar, Made in Penang Interactive Museum adalah tempat yang terbaik. Di samping berseronok mengambil gambar, muzium yang dilengkapi dengan pameran 30 jenis mural 3 dimensi ini mencerminkan budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia. Terdapat juga beberapa replika kapal dengan latar belakang pelabuhan Pulau Pinang pada zaman dahulu untuk pengunjung menghayati sejarah perdagangan negeri ini suatu ketika dahulu.

Alamat: No.3, Pengkalan Weld, 10300 George Town, Pulau Pinang.
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari , 9.00 pagi hingga 6.00 petang
Harga tiket: RM 15 (Dewasa) , RM 10 (Kanak-Kanak)
No. Telefon : +604 262 6119

9. Wonderfood

Makanan tempatan memainkan peranan yang besar dalam identiti negara kita. Hanya di Pulau Pinang saja anda dapat bergambar dengan replika makanan berskala besar! Replika makanan ini merupakan rekaan yang menggunakan teknik replikasi makanan dari Jepun. Muzium yang terbahagi kepada 3 zon iaitu Zon Wow, Zon Aktiviti dan Zon Pendidikan, pengunjung dari dalam dan luar negara dapat mendalami budaya berbilang kaum negara ini melalui pameran makanan tempatan yang menjadi kebanggaan Malaysia.

Alamat: 49, Lebuh Pantai, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 9.00 pagi- 6.00 petang
Harga Tiket : RM15(Dewasa), RM10 (Kanak-kanak)
No. Telefon : +604-251 9095

10. The Top, Komtar

Menara Komtar yang merupakan mercu tanda Georgetown kini dihidupkan semula dengan tarikan terbaru seperti Rainbow SkyWalk iaitu dek observatorium untuk pengunjung menikmati pemandangan indah bandar Georgetown dari ketinggian 249 m , Jurassic Research Centre iaitu pameran interaktif replika dan artifak dinasour yang cukup realistik, dan Ocean Explorer iaitu pertunjukan menggunakan teknologi tinggi tentang hidupan dan 7D Discovery Motion.

Alamat Komtar : 1, Jalan Penang, George Town, 10000 George Town, Pulau Pinang
Maklumat Rainbow Skywalk
Harga tiket (Dengan MyKad/MyKid): RM 88, dewasa RM 58 kanak-kanak
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari , 10.00 pagi-10.00 malam
No. Telefon: +604- 262 3800

Maklumat Jurassic Research Centre
Harga Tiket (Dengan MyKad/MyKid): Rm 48 (Dewasa), Rm 38 (Kanak-Kanak)
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 10.00 pagi – 10.00 malam.
No. Telefon: +604- 262 3800

Maklumat Ocean Explorer:
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 10.00 pagi – 10.00 malam
Harga Tiket (Dengan MyKad/MyKid) : RM30 (Dewasa), RM20 (Kanak-kanak)
No. Telefon: +604- 262 3800

11. Pantai Batu Feringghi

Pantai ini walaupun terletak agak jauh dari bandar tetapi cukup tetap menjadi pilihan warga Pulau Pinang menghabiskan masa dengan orang tersayang. Selain berkelah dan mandi laut, banyak aktiviti sukan air yang menarik disediakan untuk pengunjung seperti banana boat, jet ski, dan parasailing. Pada waktu malam pula, pasar malamm Batu Feringghi mula hidup dengan jualan yang pelbagai seperti cenderamata, pakaian, dan barang perhiasan. Pusat tumpuan pelancong ini juga terdapat banyak warung dan restoran yang menyajikan pelbagai jenis makanan seperti char koay teow, makanan laut, laksa Penang dan macam-macam lagi.

12. Gurney Drive

Bagi yang ingin menikmati makanan asli Pulau Pinang sambil menikmati angin laut, Gurney Drivelah tempatnya. Medan selera ini memang sentiasa ramai orang pada waktu malam dan popular dengan makanan seperti pasembur, char koay teow, mee kari, nasi kandar, cendol dan sebagainya. Makanan di sini juga dijual dengan harga yang cukup berpatutan membuatkan pengunjung sentiasa ramai.

Waktu Operasi : 6.00 petang – 1.00 pagi

13. Design Village Mall

Mungkin ramai yang tidak tahu tetapi Pulau Pinang juga ada pusat membeli belah outletnya juga seperti Johor Bahru dan Melaka. Seperti outlet lain, ia juga menggunakan konsep terbuka dengan hiasan landskap tumbuh-tumbuhan. Outlet ini walaupun hanya setingkat tetapi memang cukup luas. Kedai-kedai di sini seperti Levi’s, Cotton On, Poney dan kedai berjenama seperti Bonia, Coach dan Everlast dan sering menawarkan produk dengan potongan harga lebih banyak daripada di pusat membeli belah lain. Terdapat juga kemudahan buat kegunaan pengunjung seperti taman permainan, restoran, surau dan tandas.

Alamat : 733, Jalan Cassia Barat 2, 14110 Bandar Cassia, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, Isnin-Khamis (11.30 pagi-9.30malam)
Jumaat- Ahad (11.00 pagi-10.00malam)
No. Telefon : + 604-589 9888

14. Muzium Kamera

Muzium kamera merupakan antara tempat menarik di Penang dan tarikan terbaru yang mendapat perhatian di bandar Georgetown. Di muzium ini, banyak pameran kamera lama dari jenama terkemuka seperti Canon, Olympus dan Nikon. Paparan beberapa hasil fotografi menakjubkan serta sejarah mengenai fotografi juga turut dipamerkan di sini bagi pengetahuan pengunjung tentang perkembangan teknologi kamera. Pengunjung juga berpeluang untuk berada dalam bilik gelap yang digunakan untuk memproses gambar.

Alamat : 49, Jalan Muntri, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 9.30 pagi- 6.30 petang
Harga Tiket: RM25 (Dewasa), RM15 (Kanak-kanak & Warga Emas)
No. Telefon : +604-261 3649

15. Bukit Bendera

Sudah banyak pembaharuan yang telah dibuat di mercu tanda Pulau Pinang ini. Bukit Bendera kini menarik lebih ramai lagi pengunjung dengan tarikan baru yang menarik. Antaranya ialah Muzium Burung Hantu, dataran love locks, The Habitat, Earthquake & Typhoon Pavilion, Little Village dan Viewing Deck. Jangan lupa untuk menikmati pencuci mulut popular di Bukit Bendera iaitu ais parut bersama kacang dan buah-buahan.

Alamat : Jalan Stesen Bukit Bendera, Ayer Itam 1, 11500 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 6.30 pagi – 11.00 malam (train terakhir dari puncak)
Harga Tiket: RM10 (Dewasa), RM5 ( Kanak-Kanak & Warga Emas)
No. Telefon : +604-8288880

16. Muzium Boneka dan Opera Teochew

Opera Teochew merupakan persembahan yang cukup popular di Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Kini, sebuah rumah kedai dibangunkan menjadi rumah Opera dan “Puppet” Teochew bagi menghidupkan semula seni yang tidak ternilai ini. Di rumah opera ini, pengunjung dapa melihat sendiri boneka besi Teochew, pakaian tradisional dan gear kepala untuk persembahan opera, serta alat muzik yang digunakan buat mengiringi persembahan tersebut.

Alamat : 122 Lebuh Armenian, 10200 Georgetown, Pualu PInang
Waktu Operasi : Selasa hingga Ahad, 10.00 pagi hingga 6.00 petang
Harga Tiket : RM5
No. Telefon: +604-2620377
Facebook : Teochew Puppet and Opera

17. Tropical Spice Garden

Rempah ratus menjadi penyeri juadah tempatan kita. Di Tropical Spice Garden, pengunjung dapat mengenali tumbuhan-tumbuhan rempah yang sering digunakan dalam masakan tempatan. Pengunjung akan diberikan penerangan mengenai jenis-jenis tumbuhan yang ada di sini sambil menikmati landskap semulajadi yang cukup indah. Selain itu, Tropical Spice Garden menyediakan aktiviti menarik iaitu kelas memasak juadah tempatan menggunakan rempah-rempah yang tumbuh di sekitar taman ini. Jualan rempah tempatan dan eksotik juga ada di sini buat pembelian pengunjung.

Alamat : Lot 595 Mukim 2, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, 11050 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 9.00 pagi- 6.00 petang
Harga Tiket : RM29 (Dewasa), RM23 (Warga Emas), RM17 (Kanak-kanak)
No. Telefon: +604-881 1797
Laman Web : http://tropicalspicegarden.com

18. Muzium Emas

Tempat menarik di Penang yang seterusnya ialah Muzium Emas juga tidak kurang hebat kerana keunikannya yang tersendiri. Muzium ini akan membawa anda ke suasana lombong emas sambil menceritakan latar belakang dunia emas. Jangan lepaskan peluang untuk memegang jongkong emas tulen seberat 50kg dan pengalaman untuk melihat sendiri proses mendulang emas. Ada juga mural 3D bagi pengunjung yang mahu bergambar seperti sedang mendulang di lombong emas.

Alamat : No. 95, Lebuh Bishop, 10200 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari, 9.00 pagi- 6.00 petang
Harga Tiket (Dengan MyKad/MyKid) : RM30, RM15 (Kanak-kanak & Warga Emas)
No. Telefon: +604-2619999
Facebook : PG Gold Museum

19. Muzium Hantu

Daripada hantu yang ditakuti di Malaysia seperti hantu cina, pontianak sehingga ke hantu firaun dan ‘vampire’ semua jenis hantu menanti anda di muzium seram ini. Cabar keberanian anda dan kunjungilah Muzium Hantu yang cukup realistik dengan suasana yang sungguh menakutkan tetapi menarik ini. Memang rasa seperti berada dalam rumah hantu tetapi dengan cirri-ciri yang lebih ‘detail’ yang boleh menaikkan bulu roma pengunjung yang datang!

Alamat : 57, Lebuh Melayu, 10100 Georgetown, Pulau Pinang
Waktu Operasi :Isnin – Jumaat (10.00 pagi – 7.00 malam), (Sabtu, Ahad & Cuti Umum : 10.00 pagi-9.00 malam)
Harga Tiket (Dengan MyKad/MyKid) : RM18 (Dewasa), RM 8 (Kanak-Kanak & Warga Emas)
No. Telefon: +602-2612352
Facebook : Muzium Hantu Penang

20. Penang Street Art

Bandar Georgetown yang bersejarah diserikan lagi dengan seni jalanan yang terlakar pada sekitar lorong-lorong dan dinding bangunan lama. Memang cukup popular mural-mural ini sehingga dikerumuni oleh pelancong setiap masa. 17 hasil seni jalanan ini menceritakan sedikit sebanyak tentang cara kehidupan dan budaya rakyat Malaysia. Broshure dan peta disediakan bagi memudahkan pelancong untuk mencari dan bergambar dengan seni jalanan ini. Ada yang mudah dijumpai seperti kanak-kanak berbasikal dan ada yang sedikit tersembunyi di lorong-lorong.

21. Muzium Terowong Masa

Masa lampau ialah tapak asas kepada kemajuan yang kita rasai sekarang. Dengan mengunjungi muzium ini, pelancong dapat menyelami kehidupan pada 400 tahun dahulu. Gaya hidup zaman dahulu dipamerkan melalui alatan harian dan busana yang digayakan. Selain itu muzium ini juga mempunyai tarikan lain seperti pameran mural 3D, bilik anti graviti dan sebagainya.

Alamat : 39, Jalan Green Hall, 10200 Georgetown, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Isnin (9.15 pagi- 7.30 malam), Selasa- Jumaat (9.15pagi – 7.00 malam), Sabtu, Ahad & Cuti Umum (9.15 pagi-8.00malam)
Harga Tiket (Dengan MyKad/MyKid) : RM16 (Dewasa), RM8 (Kanak-kanak), RM11 (Pelajar)
No. Telefon: +604-2619181
Facebook : PG Time Tunnel

22. Little India

Alami kehidupan harian masyarakat India di The Little India. Jika kena pada musimnya, pengunjung dapat menyaksikan sendiri perayaan dan sambutan yang diadakan oleh komuniti India di Kuil Sri Mahariamman di sini. Tempat ini memang cukup meriah dengan jualan sari, kurta, rempah ratus dan pelbagai juadah makanan India yang asli. Di sini juga menempatkan beberapa restoran India dan nasi kandar buat santapan pengunjung.

23. Penang House of Music

Irama dan lagu menghidupkan lagi kepelbagaian budaya yang mewarnai gaya hidup warga Pulau Pinang. Muzik dilihat sebagai sebahagian penting dalam sejarah Pulau Pinang. Di Penang House of Music yang terletak di Komtar, pengunjung berpeluang untuk merasai kemeriahan industri muzik sejak 1950 sehingga 1980an. Pulau Pinang juga mempunyai budaya muziknya sendiri seperti boria,ronggeng, seni teater boneka dan opera Cina, dan muzik tradisional India. Pusat pameran ini juga dilengkapi dengan ruangan Radio Room, Cinema Room, Black Box, serta pameran berteknologi tinggi seperti Virtual Reality Room, Listening Posts untuk pengunjung mendengar lagu, dan tayangan video yang membawa pengunjung menyelami keindahan muzik-muzik lama. Pameran mural dan koleksi berharga seperti rekod piring hitam, poster, majalah dan alat muzik yang dipaparkan di sini dapat memberi gambaran jelas kepada pengunjung terhadap sejarah seni muzik yang gemilang di Pulau Pinang.

Alamat : ICT Mall, Tingkat 3 Komtar, Jalan Penang, 10000, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari 11.00 pagi – 8.00malam
Harga Tiket (Dengan MyKad/MyKid) : RM20 (Dewasa) RM10 (Kanak-kanak, Warga Emas & Pelajar)
No. Telefon: +60108646699
Laman Web : penanghouseofmusic.com

24. Rumah Agam Cheong Fatt Tze

Dari jauh lagi sudah tersergam rumah agam Cheong Fatt Tze yang berwarna biru gelap. Rumah agam ini adalah salah satu tarikan utama Georgetown dengan senibina tradisional asli gaya Hakka-Teochew. Rumah agam milik saudagar Hakka yang bernama Cheong Fatt Tze ini memiliki 38 bilik dilengkapi dengan 5 laman luas. Hiasan dalamannya pula mempunyai elemen timur dan barat dengan pilihan gaya mewah gaya pedagang pelabuhan China pada akhir abad ke 19. Rumah agam ini sekarang berubah menjadi muzium dan hotel butik buat pengunjung yang mahu merasai pengalaman bermalam di rumah agam tradisional cina.

Alamat : No. 4, Leith Street, 10200 Penang
No. Telefon: +604 262 0006

25. Pasar Chowrasta

Pasar ini sejak dahulu lagi menjadi pilihan pengunjung untuk memborong jeruk, produk dan produk tempatan lain seperti kudapan dan cenderamata dengan harga yang lebih murah. Pasar ini juga menjadi tumpuan buat ulat buku untuk memborong novel, buku dan majalah lama di kedai buku terpakai di sini. Anda juga dapat menikmati pencuci mulut yang popular di sini iaitu cendol Teochew dan ais tingkap.

Alamat : Lebuh Tamil, George Town, 10100 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi : 6.30 pagi -6.00 petang

25. Lorong Kulit

Alami kemeriahan pada waktu pagi di Lorong Kulit. Pasar karat di sini memang cukup terkenal kerana jualan barangannya yang pelbagai. Bukan barangan antik,buku dan baju dan terpakai sahaja yang dijual dengan harga murah, tetapi buah-buahan, barangan harian dan makanan juga ada di sini. Pilihan untuk santapan sarapan pagi juga cukup banyak buat pengunjung.

Alamat : Lorong Kulit, George Town, 10460 George Town, Pulau Pinang

Memang patutlah Pulau Pinang sentiasa ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Pulau mutiara ini memang kaya dengan pelbagai tempat menarik di Penang dan tarikan unik terbaru di samping kekayaan sejarah yang masih terpelihara hingga ke hari ini.

Kepelbagaian budaya yang hidup bermasyarakat di tengah-tengah ibu kotanya juga menjadikan Georgetown pusat tumpuan pelancongan setempat yang padat dengan tarikan-tarikan menarik.

Tarikan utamanya yang lama seperti Bukit Bendera, Komtar, dan Taman Rama-Rama juga diberi sentuhan baru untuk menarik ramai lagi pelancong untuk berkunjung ke negeri ini. Kini, tiada alasan lagi untuk anda menangguhkan percutian ke Pulau Pinang yang mengujakan dengan pelbagai tempat-tempat menarik untuk dikunjungi!

Dapatkan Info Terkini Terus Ke Emel Anda

Jadilah yang terawal mendapat informasi / maklumat terkini Semakan Online

Terima kasih, sila semak INBOX anda sekarang.

Ops! Sila masukkan semula emel anda...