Kementerian Kewangan Malaysia telah mengumumkan tarikh akhir pendaftaran baharu dan kemaskini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 telah dilanjutkan sehingga 25 Februari 2021 (hari Khamis).
Terkini, pembayaran BPR Fasa 1 telah dipercepat di mana Menteri Kewangan telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi pembayaran bermula 24 Februari 2021.
Sukacita diumumkan, bagi pembayaran Fasa 1 BPR, 8.45 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM300 setiap penerima untuk kategori isi rumah (4.4 juta penerima) dan RM150 setiap seorang untuk individu bujang (4.05 juta penerima) secara berperingkat mulai 24 Februari 2021 (Rabu), melibatkan peruntukan berjumlah RM1.93 bilion. Bayaran ini akan disalurkan seperti berikut:
Untuk makluman, Kementerian Kewangan Malaysia sebelum ini telah mengumumkan bahawa tarikh akhir untuk orang ramai membuat pendaftaran baharu dan kemaskini BPR 2021 adalah pada 15 Februari 2021.
Lanjutan tarikh ini dibuat bagi memastikan BPR yang diterima benar-benar layak dan mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hampir di seluruh negara pada ketika ini.
Selain itu, lanjutan ini akan memberi lebih banyak masa untuk mereka yang tidak lulus dalam permohonan atau mereka yang belum menerima BPR sebelum ini untuk membuat permohonan baharu atau kemaskini sebelum daripada tarikh akhir yang ditetapkan.
Permohonan Baharu
Untuk makluman, terdapat beberapa kategori yang perlu membuat permohonan baharu bagi mendapatkan BPR 2021 iaitu:
- Pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020; atau
- Pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40; atau
- Isi rumah dengan pendapatan RM5,000 ke bawah sebulan; atau
- Golongan mudah terjejas (newly vulnerable groups) yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran kesan pandemik COVID-19.
Penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu/kemaskini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat.
Syarat Kelayakan BPR 2021
Terdapat beberapa syarat kelayakan yang telah ditetapkan untuk BPR 2021 bagi kategori isi rumah dan bujang.
Bagi kategori isi rumah, syarat kelayakan yang ditetapkan adalah seperti berikut:
i) Pemohon
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia (MyKad) yang menetap di Malaysia sahaja
- Lelaki atau wanita yang menjadi ketua keluarga yang tinggal serumah dan bekerja di Malaysia dengan jumlah pendapatan kasar bulanan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.
ii) Pasangan
- Pasangan mestilah warganegara Malaysia (MyKad) atau memiliki pengenalan Malaysia (MyPR/MyKAS); atau
- Bukan Warganegara Malaysia (selain pengenalan MyPR/MyKAS).
iii) Anak
- Hubungan mestilah anak kandung (termasuk anak tidak sah taraf) atau anak angkat yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja; dan
- Warganegara Malaysia dan memiliki pengenalan Malaysia (MyKad/MyKid) sahaja; dan
- Tidak bekerja atau tiada punca pendapatan; dan had umur:17 tahun dan ke bawah; atau
- 18 tahun dan ke atas bagi pelajar sepenuh masa di Institusi Pengajian Awam/Swasta.
Bagi kategori bujang pula, syarat kelayakan adalah seperti berikut:
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia (MyKad) yang menetap di Malaysia sahaja.
- Jumlah pendapatan kasar bulanan pemohoon adalah RM2,500 dan ke bawah.
- Pemohon terdiri daripada lelaki atau wanita yang berumur:
- 21 tahun hingga 59 tahun; atau
- 18 tahun sehingga 59 tahun bagi ketegori OKU.
Cara Permohonan Baharu & Kemaskini
Terdapat 3 cara permohonan baharu BPR 2021 boleh dibuat iaitu:
- Membuat permohonan secara dalam talian melalui https://bpr.hasil.gov.my/.
- Muat turun dan mencetak Borang Permohonan melalui https://bpr.hasil.gov.my/.
- Hadir terus ke
– Cawangan Lembaga Hasil Dalan Negeri Malaysia (LHDNM)
– Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM
– Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM untuk mengisi dan mengemukakan Borang Permohonan BPR.
Bagi kemaskini pula, pemohon boleh mengikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://bpr.hasil.gov.my/.
- Klik bahagian Log Masuk.
- Masukkan no kad pengenalan dan klik butang ‘Semak.’
- Masukkan kata laluan dan klik butang ‘Log Masuk.’
- Klik bahagian Kemaskini Permohonan.
- Muat naik dokumen yang diperlukan.
- Masukkan maklumat dan klik butang ‘Teruskan.’
- Isi captcha dan klik butang ‘Sahkan Captcha.’
- Klik butang ‘Hantar.’
Dokumen Yang Diperlukan
Dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan adalah seperti:
- Pemohon:
– Salinan Sijil Perkahwinan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri/JPN; atau
– Salinan Sijil Kematian pasangan yang dikeluarkan oleh JPN; atau
– Sijil Perceraian (asal dan salinan) yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri/JPN; atau
– Salinan Sijil Dekri Nisi/Dekri Nisi Mutlak yang dikeluarkan oleh Mahkamah
– Salinan Kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - Pasangan
– Salinan pengenalan Pasangan (MyKad/MyPR/MyKAS); atau
– Salinan Pasport/Visa/UNHCR/Pas Sempadan. - Anak
– Anak Kandung: Salinan MyKad/MyKid dan salinan Sijil Lahir
– Anak Angkat: Salinan MyKad/MyKid dan salinan Sijil Daftar Anak Angkat yang dikeluarkan oleh JPN.
Tarikh Pembayaran
Bayaran Fasa pertama akan diterima oleh pemohon pada penghujung bulan Februari 2021 secara berperingkat.
Jumlah bayaran Fasa Pertama adalah seperti berikut:
- Kategori Isi Rumah: RM300
- Katagori Individu Bujang: RM150
Untuk Bayaran Fasa Kedua BPR 2021 pula dijangka akan dibuat pada awal bulan Mei 2021.
Pertanyaan & Maklumat Lanjut
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi pihak LHDNM di talian 1-800-88-2747 atau melayari laman web https://bpr.hasil.gov.my/ untuk mendapat maklumat lanjut.