Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah mengumumkan 4 pengumuman penting sempena Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei 2022.
Untuk makluman, tema Hari Pekerja tahun ini, ‘Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara’ yang mencerminkan aspirasi kesepaduan, kesepakatan dan jalinan kerjasama Keluarga Malaysia untuk sama-sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara.
Oleh itu, pengumuman ini dibuat bagi meraikan sumbangan para pekerja dalam menjana kemajuan negara.
Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri
Pertama, Perdana Menteri telah mengumumkan untuk meletakkan sasaran sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia yang bekerja sendiri mendapat perlindungan insurans di bawah PERKESO menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Menerusi program ini, kerajaan akan menanggung sebanyak 80% daripada jumlah yang perlu dicarum oleh individu terbabit dan baki 20% akan ditanggung oleh pencarum.
Taska Tempat Kerja
Kedua, kerajaan juga akan menyarankan penyediaan Taska Tempat Kerja di setiap sektor awam kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Badan Berkanun sebelum ia diperluaskan ke sektor swasta.
Bagi pelaksanaan perkara ini, kerajaan menyediakan geran tahunan RM10 juta pada tahun 2019 dan RM30 juta sejak tahun 2020 bagi inisiatif ini yang akan memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil.
Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia
Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia, MyEzyCover.com akan dilaksanakan mulai 1 Mei.
Ini adalah pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah, ditawarkan kepada penjawat awam sebelum diperluaskan kepada sektor swasta.
Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama PERKESO dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).
Gaji Minimum
Gaji minimum RM1,500 juga akan berkuatkuasa 1 Mei sebagai pengiktirafan kepada golongan pekerja atas dedikasi yang tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara.
Sumber: Facebook Ismail Sabri Yaakob https://www.facebook.com/ismailsabri60.