Peningkatan kes HFMD agak membimbangkan negara ketika ini. Ibu bapa yang mengesyaki anak-anak menghidapi simpton HFMD disarankan membuat permohonan cuti kuarantin selama 5 hari.
Bagi anda yang tidak tahu adanya pekeliling cuti kuarantin ini, berikut dikongsikan secara lebih terperinci tentang kemudahan cuti kuarantin penjawat awam.
Untuk makluman, kemudahan ini telah diperuntukkan di bawah Perintah Am 24 Bab C (Cuti).
Tujuan utamanya adalah untuk memudahkan urusan pegawai kerajaan yang ditahan di mana-mana stesen kuarantin pelabuhan atau lapangan terbang kerana berlakunya wabak penyakit berjangkit.
Pegawai yang diberi perintah kuarantin layak mendapat cuti bergaji penuh sepanjang tempoh kuarantin tersebut.
Kemudahan cuti kuarantin ini diperluas kepada pegawai yang anaknya menghidap penyakit berjangkit dan perlu dikuarantin.
Permohonan Cuti Kuarantin Penjawat Awam
Sekiranya anak-anak penjawat awam diberikan surat doktor yang menyatakan anak tersebut perlu dikuarantin, pegawai boleh memohon cuti kuarantin penjawat awam selama lima hari untuk menjaga anak yang sakit.
Pegawai yang layak memohon hanyalah ibu bapa yang sah kepada anak-anak berikut:
- Anak kandung
- Anak tiri tanggungan
- Anak angkat de facto
- Anak angkat
- Anak pelihara
Anak angkat de facto bermaksud seseorang kanak-kanak itu berada dalam jagaan, sedang dibesarkan, ditanggung dan dididik oleh pegawai sebagai anaknya di bawah sesuatu pengangkatan de facto, dan bagi suatu tempoh tidak kurang daripada dua (2) tahun yang berterusan dan sebelum sahaja dari tarikh permohonan tersebut di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 [Akta 253].
Kemudahan kuarantin ini diberikan dengan syarat:
- Anak yang dikuarantin berumur bawah 18 tahun atau jika masih belajar berumur 21 tahun ke bawah
- Tidak kira apa jua umurnya dan yang cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal dan yang tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri, dengan syarat anak itu adalah cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal sebelum anak itu mencapai umur 21 tahun
Senarai Penyakit Berjangkit
Berikut adalah senarai penyakit berjangkit yang layak menerima kemudahan cuti tersebut. Antaranya:
- Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut [Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD)]
- Demam Denggi dan Demam Denggi Berdarah
- Campak (Measles)
- Chickenpox
- Difteria
- Malaria
Borang Cuti Kuarantin
Borang permohonan cuti kuarantin boleh dimuat turun (download) dari portal rasmi JPA. Atau boleh terus download di sini.
Pekeliling rasmi kemudahan cuti kuarantin ini boleh dibaca di sini.