Senarai 21 Pelepasan Cukai Pendapatan Untuk e-Filing Tahun 2020

Bagi rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan setiap tahun, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengeluarkan senarai 21 pelepasan cukai pendapatan tahun 2019 untuk e-Filing tahun 2020.

Untuk pengetahuan semua, cukai pendapatan merupakan cukai yang dikenakan terhadap pendapatan anda setiap tahun daripada gaji, elaun, faedah, komisen, dividen, sewa, royalti, dan pendapatan daripada perniagaan.

Namun, setiap individu yang perlu membayar cukai pendapatan setiap tahun berpeluang menerima pelepasan cukai.

Bagi cukai pendapatan 2019, LHDN telah mengeluarkan senarai yang membolehkan individu yang membayar cukai pendapatan tahunan layak menerima pelepasan cukai.

Berikut merupakan senarai pelepasan cukai pendapatan yang telah dikeluarkan oleh pihak LHDN.

1. INDIVIDU DAN SAUDARA TANGGUNGAN

Bagi kategori individu dan saudara kandungan, pelepasan cukai dalam kategori ini akan diberikan secara automatik.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah terhad sehingga RM9,000 sahaja.

2. PERBELANJAAN BAGI PENJAGAAN IBU BAPA

Bagi individu yang masih mempunyai ibu dan bapa, anda boleh memohon pelepasan cukai bagi kategori ini sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Dalam kategori ini, takrifan ibu bapa yang dimaksudkan adalah ibu bapa kandung dan ibu bapa angkat (perlu pengesahan daripada pihak berkuasa sekiranya pemohon merupakan anak angkat).

Walau bagaimanapun, ibu bapa tiri adalah tidak tergolong dalam kategori ini.

Terdapat dua bahagian di dalam kategori ini iaitu (i) penjagaan ibu bapa yang memerlukan perbelanjaan rawatan perubatan atau rawatan khas dan (ii) penjagaan ibu bapa.

Bagi bahagian (i), jumlah pelepasan yang layak dituntut bagi penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan atau rawatan khas ini adalah sehingga RM5,000.

Walau bagaimanapun, keadaan kesihatan ibu bapa terbabit perlu mendapat pengesahan daripada pengamal perubatan.

Bagi bahagian (ii) pula, jumlah pelepasan yang layak dituntut bagi penjagaan ibu dan bapa adalah RM1,500 bagi ibu dan RM1,500 bagi bapa.

3. PERALATAN SOKONGAN ASAS

Individu juga boleh menuntut pelepasan cukai bagi pembelian peralatan sokongan asas bagi Orang Kurang Upaya (OKU).

OKU tersebut mestilah telah berdaftar dan disahkan sebagai OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pembelian peralatan sokongan asas ini terhad sama ada untuk kegunaan diri sendiri, pasangan, anak, dan ibu atau bapa sahaja.

Bagi kategori ini, individu terbabit boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM6,000.

4. INDIVIDU OKU

Bagi individu yang telah berdaftar dan telah disahkan oleh JKM sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), mereka layak menuntut pelepasan cukai tambahan sebanyak RM6,000. 

5. YURAN PENGAJIAN

Bagi indvidu yang sedang mengikuti pengajian peringkat tinggi sama ada di universiti, kolej, institusi, atau sebagainya, anda juga layak menerima pelepasan cukai sehingga RM7,000 ke atas yuran pengajian tahunan.

Namun, pelepasan cukai dalam kategori ini hanya layak kepada:

  • Peringkat selain Sarjana dan Doktor Falsafah- bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi sahaja.
  • Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah- sebarang bidang atau kursus pengajian.
  • Institusi pengajian tinggi tersebut mestilah diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

6. PERBELANJAAN PERUBATAN BAGI PENYAKIT YANG SUKAR DIUBATI

Dalam kategori ini, individu boleh menuntut pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan penyakit sukar diubati atau serius sama ada penyakit tersebut dihidapi oleh diri sendiri, pasangan, atau anak.

Pelepasan bagi kategori ini adalah sehingga RM6,000.

Individu yang ingin menuntut pelepasan cukai dalam kategori ini perlu menyimpan semua resit rawatan perubatan dan surat perakuan yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bagi tujuan rekod dan dokumentasi.

7. PEMERIKSAAN PERUBATAN PENUH

Individu yang melakukan pemeriksaan perubatan penuh sama ada untuk diri sendiri, pasangan, atau anak-anak layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM500.

Walau bagaimanapun, jumlah keseluruhan pelepasan cukai bagi kategori ini dan kategori bernombor 6 mestilah tidak melebihi RM6,000.

8. PERBELANJAAN GAYA HIDUP

Individu juga boleh memohon pelepasan cukai untuk perbelanjaan gaya hidup bagi manfaat sendiri, suami, atau isteri serta anak-anak.

Bagi kategori ini, pelepasan cukai yang layak dituntut adalah sehingga RM2,500.

Perbelanjaan gaya hidup yang dibenarkan untuk menerima pelepasan cukai adalah seperti berikut:

  • Pembelian untuk buku, jurnal, majalah, surat khabar bercetak dan lain-lain penerbitan seumpamanya selain bahan bacaan terlarang atau lucah.
  • Pembelian komputer peribadi, telefon pintar mahupun tablet.
  • Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 namun tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor.
  • Bayaran keahlian gimnasium.
  • Bayaran bil bulanan bagi langganan jalur lebar atau internet yang dibuat atas nama sendiri.

9. PEMBELIAN PERALATAN PENYUSUAN IBU

Bagi ibu yang mahu membeli peralatan penyusuan, anda juga layak menerima pelepasan cukai dalam kategori ini.

Namun, pembelian peralatan penyusuan hanya dibenarkan bagi kegunaan penyusuan anak yang berumur 2 tahun dan ke bawah sahaja.

Pelepasan cukai yang diberikan dalam kategori ini adalah sehingga RM1,000 dan tuntutan pembelian boleh digunakan menyusukan lebih daripada seorang anak.

Perlu diingat bahawa pelepasan ini hanya dibenarkan sekali bagi setiap 2 tahun taksiran.

10. YURAN PENGHANTARAN ANAK

Individu yang mempunyai anak berumur 6 tahun dan kebawah layak mendapat pengecualian cukai bagi yuran penghantaran anak mereka ke taska dan taman asuhan kanak-kanak.

Bagi kategori ini, individu yang berkenaan layak menerima pelepasan cukai adalah sehingga RM1,000 walaupun bilangan anak melebihi daripada seorang.

Tuntutan pelepasan cukai ini boleh dituntut sama ada suami atau isteri jika taksiran suami dan isteri dibuat secara berasingan.

11. TABUNGAN BERSIH DALAM SKIM SSPN

Bagi individu yang mempunyai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), anda boleh menuntut pelepasan cukai.

Pelepasan cukai ini adalah melibatkan tabungan bersih pada tahun 2019 iaitu jumlah simpanan yang ditolak dengan jumlah pengeluaran.

Bagi kategori ini, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut oleh individu terbabit adalah sehingga RM8,000.

12. BAYARAN KEPADA PASANGAN ATAU BAYARAN ALIMONI TERHADAP BEKAS ISTERI

Dalam kategori ini, jika suami atau isteri yang tidak bekerja atau mempunyai jumlah pendapatan yang tidak mencapai jumlah minimum dikenakan cukai, maka pasangan mereka boleh menuntut pelepasan cukai ke atas suami atau isteri terbabit sebanyak RM4,000.

Selain itu, bagi suami yang ada membuat bayaran alimoni atau nafkah kepada bekas isteri, maka mereka juga layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM4,000.

13. SUAMI ATAU ISTERI KURANG UPAYA

Bagi individu yang mempunyai suami atau isteri OKU, mereka boleh menuntut pelepasan cukai sebanyak RM3,500.

Namun, suami atau isteri OKU terbabit mestilah diiktiraf dan berdaftar dengan JKM.

14. ANAK 18 TAHUN KE BAWAH YANG BELUM BERKAHWIN

Bagi individu yang mempunyai anak yang berumur 18 tahun ke bawah, mereka layak memohon pelepasan cukai dalam kategori ini.

Pelepasan cukai yang dibenarkan bagi individu terbabit adalah sebanyak RM2,000 seorang.

15. ANAK 18 TAHUN KE ATAS YANG BELUM BERKAHWIN DAN MENERIMA PENDIDIKAN SEPENUH MASA (PERINGKAT A-LEVEL, SIJIL KEMAHIRAN, PERSEDIAAN ATAU PRA IJAZAH)

Dalam kategori ini, ibu atau bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas dan menerima pendidikan sepenuh masa layak pada tahun taksiran menerima pelepasan cukai.

Pendidikan sepenuh masa tersebut merangkumi mereka yang sedang mengikuti pengajian di peringkat matrikulasi, A-Level, sijil kemahiran, persediaan atau pra-ijazah.

Bagi kategori ini, ibu atau bapa terbabit layak menerima pelepasan cukai sebanyak RM2,000 bagi seorang anak.

16. ANAK 18 TAHUN KE ATAS YANG BELUM BERKAHWIN (SELAIN KATEGORI 15)

Berbeza dengan kategori bernombor 15, ibu bapa yang mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat berikut layak menerima pengecualian cukai:

  • Mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa seperti diploma dan ke atas di universiti, kolej atau institut pengajian tinggi lain yang serupa dengannya di dalam negara atau;
  • Mengikuti kursus sepenuh masa di luar negara di peringkat ijazah dan ke atas atau;
  • Mengikuti kursus dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan.

Ibu atau bapa yang mempunyai anak di dalam kategori ini layak menerima pelepasan cukai sebanyak RM8,000 seorang.

17. ANAK KURANG UPAYA

Bagi ibu atau bapa yang mempunyai anak OKU yang masih belum berkahwin, maka ibu atau bapa terbabit layak menerima pelepasan cukai sebanyak RM6,000.

Selain itu, pelepasan cukai tambahan sebanyak RM8,000 seorang turut diberikan kepada ibu atau bapa yang mempunyai seorang anak OKU yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin, dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Mengikuti pengajian di peringkat diploma dan ke atas di insttusi pengajian tinggi di dalam negara atau;
  • Mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi luar negara yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan.

18. INSURANS ATAU TAKAFUL NYAWA DAN KWSP TIDAK TERMASUK MELALUI POTONGAN GAJI

Individu yang membayar insurans atau takaful nyawa dan KWSP tidak termasuk melalui potongan gaji layak menerima pelepasan cukai.

Bagi pelepasan cukai dalam kategori ini, terdapat dua kategori yang terlibat iaitu:

  • Kategori penjawat awam berpencen- pelepasan premium cukai insurans atau sumbangan takaful nyawa adalah sehingga RM7,000.
  • Kategori selain penjawat awam berpencen- pelepasan premium insurans nyawa adalah terhad sehingga RM3,000. Pelepasan caruman KWSP atau skim yang diluluskan pula terhad kepada RM4,000.

19. SKIM PERSARAAN SWASTA ATAU ANUITI TERTUNDA

Bagi individu yang membuat caruman ke dalam Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti atau membuat bayaran premium ke dalam Skim Anuiti Tertunda, individu terbabit layak menerima pelepasan cukai.

Pelepasan cukai pendapatan yang dibenarkan dalam kategori ini adalah sebanyak RM3,000.

20. INSURANS PENDIDIKAN DAN PERUBATAN TERMASUK MELALUI POTONGAN GAJI

Individu yang membayar insurans pendidikan dan perubatan melalui potongan gaji juga layak menerima pelepasan cukai.

Dalam kategori ini, individu tersebut boleh mengemukakan tuntutan pelepasan cukai sehingga RM3,000 sama ada bayaran insurans tersebut untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak.

21. CARUMAN KEPADA PERKESO

Bagi individu yang telah mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), individu terbabit layak menerima pelepasan cukai sebanyak RM250.

Pelepasan cukai ini merangkumi caruman individu yang dibuat atau ditanggung oleh individu lain mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

MAKLUMAT DAN PERTANYAAN LANJUT

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai pelepasan cukai pendapatan, anda boleh melayari laman web LHDN iaitu http://www.hasil.gov.my/.

Anda juga boleh menghubungi pihak LHDN di talian 03-8911 1400 atau hadir ke mana-mana cawangan LHDN berhampiran anda.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.