rumah mampu milik

Senarai Skim Rumah Mampu Milik Yang Ada Di Malaysia 2019

Mengikut laporan Menteri, nilai rumah yang tak terjual kini mencecah RM22.5 bilion!

Walaupun 73% adalah rumah mampu milik yang bernilai RM250,000 ke atas, namun masih ramai yang belum layak untuk mendapatkan pinjaman perumahan bagi membeli rumah tersebut.

Namun Kerajaan bagaimanapun akan berbincang dengan Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan pihak pemaju untuk menganjurkan satu ekspo pemilikan rumah bagi menjual rumah-rumah yang tidak terjual tersebut.

Skim Rumah Mampu Milik

Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya di Malaysia terdapat pelbagai jenis skim Rumah Mampu Milik selain Rumah Mesra Rakyat.

Berikut kami kongsikan antara skim perumahan yang masih boleh dimohon secara online.

1. PR1MA

rumah pr1ma

Mesti anda pernah dengar tentang rumah PR1MA.

Ianya masih aktif dijual sehingga ke hari ini.

Rumah PR1MA dijual bermula dari harga RM100,000 hingga RM400,000 mengikut kawasan. Semua rakyat Malaysia yang berpendapatan RM2,500 – RM15,000 sebulan layak memohon skim perumahan ini.

Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi PR1MA di sini https://www.pr1ma.my/

2. Skim Rumah Pertamaku

Skim Rumah Pertamaku adalah bantuan Kerajaan kepada golongan pekerja swasta yang bergaji RM5,000 ke bawah untuk membeli rumah pada harga maksimum RM500,000.

Melalui skim ini, pembeli boleh mendapatkan pembiayaan 100% daripada mana-mana institusi kewangan.

Pembeli juga tidak perlu menyediakan wang pendahuluan sebanyak 10%.

Kesemua pembiayaan ini mendapat jaminan daripada Cagamas SRP Berhad.

3. Perumahan Penjawat Awam Malaysia

Di era Barisan Nasional memerintah skim ini dikenali sebagai Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia.

Kini setelah Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya skim ini dijenamakan semula kepada Perumahan Penjawat Awam.

Melalui skim ini, semua penjawat awam layak memiliki rumah pada harga mampu milik. Selain itu, anak pesara kerajaan juga layak untuk memohon PPAM ini.

4. Rumah Selangorku

Untuk makluman, skim Rumah Selangorku masih diteruskan.

Laporan media terbaru memaklumkan Menteri Besar Selangor mengumumkan pengurangan harga Rumah Selangorku sebanyak RM20,000!

Untuk permohonan / pendaftaran sila rujuk artikel Rumah Selangorku ini.

5. Rumah Mesra Rakyat

Antara skim rumah mampu milik yang sentiasa menjadi rebutan orang ramai adalah Rumah Mesra Rakyat SPNB.

Melalui skim ini, pembeli cuma perlu bayar bulanan serendah RM270 sebulan.

Permohonan boleh dibuat secara online di portal rasmi http://www.spnbmesra.com.my/

6. RUMAWIP

RUMAWIP atau dasar Rumah Wilayah Persekutuan merupakan skim rumah mampu milik khas untuk orang yang lahir atau menetap di Wilayah Persekutuan.

Antara syarat kelayakan — berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai pendapatan bawah RM10,000 (bujang) atau RM15,000 (berkahwin).

Data terkini menunjukkan terdapat 30 projek RUMAWIP telah siap dibina dan dibuka untuk permohonan termasuk di Seputeh, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

7. PR1MA Rent to Own

Skim Rent to Own ini merupakan program Sewa Milik kediaman selama 10 tahun bagi pemohon yang berjaya dalam pengundian untuk Kediaman PR1MA tetapi gagal mendapatkan kelulusan pinjaman daripada bank panel PR1MA.

Di bawah skim RTO, pemohon perlu menyewa kediaman PR1MA sehingga 10 tahun. Pemohon diberi pilihan untuk membeli kediaman tersebut pada akhir tahun ke-5 atau ke-10 pada harga yang ditetapkan oleh PR1MA.

8. BSN MyHome

Program perumahan rakyat BSN MyHome diwujudkan khas terutama untuk golongan bekerja sendiri atau yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Skim ini menyediakan pembiayaan sehingga RM120,000 dengan kadar faedah serendah 3% PA.

Pemohon mestilah mempunyai bukti bekerja sendiri dan berpendapatan minima RM1,000 sebulan.

9. Program Perumahan Rakyat (PPR)

PPR adalah program untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah.

PPR terdiri daripada 2 kategori iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki.

Rumah-rumah PPR Dimiliki dijual pada paras harga antara RM30,000.00 dan RM35,000.00 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM40,500.00 di Sabah dan Sarawak.

Manakala kadar sewa PPR Disewa ialah RM124.00 sebulan.

Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi KPKT di sini.

10. Perumahan Transit Belia

Sebanyak 2,010 unit rumah transit belia telah dibina di Kuala Lumpur lengkap dengan kemudahan WiFi, premis perniagaan dan gym.

Kadar sewa rumah transit ini 30% lebih rendah daripada harga pasaran — RM400 sebulan untuk studio berkeluasan 400kps manakala RM550 bagi unit 2 bilik berkeluasan 550kps.

Kesemua rumah transit turut dilengkapi perabot asas.

11. Perumahan Awam DBKL

Tahukah anda DBKL ada menyediakan kemudahan perumahan kos rendah & kos sederhana bagi meringankan beban rakyat Malaysia.

Kadar sewa cukup rendah — bermula dari RM55 sebulan sehingga mencecah RM320 sebulan.

Namun hanya mereka yang berpendapatan RM4,000 sebulan ke bawah layak memohon Perumahan Awam DBKL.

Borang Permohonan boleh didapati di Kaunter Perkhidmatan atau secara ‘online’ di menu Muat Turun

12. Skim Bantuan Sewa Rumah

Skim Bantuan Sewa Rumah / Tunggakan Perumahan Awam / PPR merupakan inisiatif DBKL untuk memberi bantuan kepada golongan miskin yang tidak mampu membayar sewa rumah dan mempunyai tunggakan yang tinggi bagi mengurangkan kadar kemiskinan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Antara syarat kelayakan — Isi rumah yang tiada pendapatan tetap atau pendapatan bulanan kurang daripada RM1,500 dan mempunyai tanggungan dalam kategori berikut:-

  • Miskin Tegar : Pendapatan Isi Rumah RM580 ke bawah (Perkapita RM140 ke bawah)
  • Miskin : Pendapatan Isi Rumah RM940 ke bawah (Perkapita RM240 ke bawah)

Permohonan ini mestilah disertakan bersama resit terkini pembayaran tunggakan sewa rumah dan baki tunggakan sewa rumah.

Pemohon haruslah membuat bayaran sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah tunggakan atau jumlah yang telah dipersetujui oleh pegawai bertugas di kaunter Rayuan Bayaran Tunggakan.

Untuk maklumat lanjut tentang Skim Bantuan Sewa Rumah klik di sini.