Para asnaf yang telah membuat permohonan bantuan kepada Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), semua status permohonan kini boleh disemak melalui Sistem Semakan Bantuan Asnaf (SSBA) yang diwujudkan oleh MAIK.
Melalui SSBA, para asnaf tidak perlu lagi untuk hadir ke pejabat untuk menyemak status dan rekod bantuan mereka di MAIK sebaliknya boleh mengakses status permohonan mereka melalui SSBA.
Ini akan mengurangkan kesesakan yang berlaku di pejabat MAIK dan mengakibatkan para asnaf menunggu terlalu lama untuk mengetahui status permohonan.
Selain menjimatkan kos dan masa, sistem ini juga memberikan kemudahan kepada para asnaf untuk mengakses di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Kategori Asnaf
Di dalam Islam, terdapat 8 kategori asnaf yang boleh menerima zakat iaitu:
- Asnaf Fakir: Seorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang di bawah tanggungannya.
- Asnaf Miskin: Seorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha atau pendapatan dari sumber-sumber lain yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya yang melebihi 50% tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang dibawah tanggungannya.
- Asnaf Amil: Mereka yang terlibat secara langsung dengan Institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.
- Asnaf Mualaf: Mereka yang dijinakkan hatinya atau yang diharapkan kencenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya). Ianya dibahagikan kepada empat:
– Baru memeluk agama Islam
– Ketua-ketua kaum yang memeluk Islam yang baik hubungannya dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya.
– Ketua-ketua kaum yang memeluk Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang-orang dibawah pimpinannya.
– Orang-orang yang memeluk Islam yang tinggal diperbatasan yang berhampiran dengan negara musuh. - Asnaf Riqab: Orang-orang Islam yang dimerdekakan daripada cengkaman perhambaan dan penakhlukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu dibawah kawalan orang-orang tertentu.
- Asnaf Gharimin: Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syara’.
- Asnaf Fisabilillah: Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwah Agama Islam serta kebajikannya.
- Asnaf Ibnusabil: Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh hukum syara’ dari mana-mana jua negeri atau negara yang memerlukan bantuan.
Bantuan MAIK
MAIK telah menyediakan bantuan-bantuan yang dipohon oleh para asnaf iaitu:
- Bantuan Bulanan Fakir Miskin
- Bantuan Pembangunan Ekonomi
- Bantuan Am
- Bantuan Rawatan Perubatan
- Bantuan Persekolahan
- Bantuan Melanjutkan Pelajaran Ke IPT
- Biasiswa Tengku Anis
- Bantuan Kepada Sekolah Pondok
- Bantuan Pemulihan Rumah Kediaman
- Bantuan Rumah Agihan Zakat (Projek Khas)
- Bantuan kepada Badan/Pertubuhan & Sumbangan Kepada Pembangunan Islam
- Bantuan Bengkel Kemahiran Hidup (Jahitan, Sulaman dan Automatif)
- Bantuan Pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Luar Negara
- Bantuan kepada Gharimin
- Bantuan kepada Ibnusabil
Cara Memohon Bantuan MAIK
Untuk memohon bantuan MAIK di atas, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Dapatkan borang permohonan bantuan yang boleh didapati secara percuma di Kaunter Zakat, Tingkat 1, MAIK.
- Isi borang permohonan dengan lengkap.
- Hnatar borang permohonan yang lengkap semula kepada Kaunter Zakat MAIK.
Semakan Permohonan Melalui SSBA
Setiap permohonan bantuan (one-off) yang dibuat kepada MAIK boleh disemak melalui SSBA seperti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://www.e-maik.my/v2/index.php/ms/e-perkhidmatan-kami/semakan-oneoff?fbclid=IwAR2iN92c3oojJVbGAfKv5ssY4yqzHz3HLrJtX5_4T_dVcMPVj1A1Nh40RkE.
- Klik butang ‘Sistem Semakan Bantuan Asnaf (SSBA).’
- Masukkan no kad pengenalan dan klik butang ‘Semak.’
- Klik butang ‘Keterangan Lanjut’ untuk mengetahui maklumat lanjut.
- Klik ‘Kembali ke Utama’ untuk keluar ke halaman utama.
Pertanyaan Lanjut
Untuk pertanyaan lanjut mengenai SSBA, sila hubungi pihak MAIK di talian 09-7481512 atau talian bebas tol 1-800-88-6060.