Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua pengangkutan awam sama di bawah RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel bas RapidKL dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Lembah Klang ditawarkan tambang percuma selama sebulan mulai hari ini.
Pengumuman tersebut dibuat sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa 1 pada hari ini.
Langkah ini dibuat bagi meringankan beban kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat.
Menerusi subsidi tambang percuma bagi perkhidmatan RapidKL dan KTMB ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM155 juta untuk pelaksanaannya selama 1 bulan.
MRT Laluan Putrajaya Fasa 1
MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 adalah sepanjang 17.5 kilometer membabitkan 12 stesen, termasuk tiga yang ditukarkan daripada MRT Laluan Kajang dengan tempoh perjalanan selama 24 minit.
Sebanyak 9 stesen baharu yang dibuka iaitu:
- Damansara Damai
- Sri Damansara Barat
- Sri Damansara Sentral
- Sri Damansara Timur
- Metro Prima
- Kepong Baru
- Jinjang
- Sri Delima
- Kampung Batu.
Jajaran ini turut mengetengahkan empat stesen pertukaran iaitu di:
- Kwasa Damansara (dengan MRT Laluan Kajang)
- Sungai Buloh
- Kampung Batu (dengan KTM)
- Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral).
Selain itu, bas perantara dan bas GoKL juga akan disediakan di stesen bagi menyambungkan destinasi pertama dan terakhir.
Perkhidmatan KTMB Lembah Klang
Selain perkhidmatan RapidKL, pengguna perkhidmatan KTMB juga akan menikmati tambang percuma bermula pada hari ini.
Tambang percuma ini adalah bagi perkhidmatan KTMB bagi jajaran Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan Batu Caves ke Pulau Sebang Tampin.