Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar berpakaian seragam sekolah berusia hingga 12 tahun akan menikmati tambang percuma tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mulai 15 Februari 2023.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pelaksanaan tambang percuma untuk tren KTMB itu dapat dilaksanakan melalui penjimatan RM15 juta setahun susulan penangguhan perkhidmatan KTM komuter dari Subang Skypark ke KL Sentral.
Ini juga turut memanfaatkan 150 murid yang menggunakan perkhidmatan tren antara Dabong ke Kuala Geris di Kelantan setiap hari dengan kadar bayaran RM1 setiap perjalanan.
Laluan Terlibat
Laluan yang terlibat dalam inisiatif tambang percuma ini adalah bagi perkhidmatan tren komuter sektor utara dan Lembah Klang serta perkhidmatan antara bandar bagi laluan Gemas-Tumpat.
Pelajar Sekolah Menengah
Buat masa kini, tawaran tambang percuma tersebut ditawarkan kepada pelajar sekolah rendah sahaja.
Namun, Menteri Pengangkutan menyatakan perbincangan lanjut akan dibuat untuk meluaskan perkhidmatan tren percuma kepada pelajar sekolah menengah, bergantung kepada kemampuan kewangan.
Walau bagaimanapun, pelajar sekolah menengah masih boleh menggunakan MyRail5 iaitu pas perjalanan bulanan tanpa had selama 30 hari dengan harga RM5 sahaja.
Tujuan asal MyRail5 adalah untuk meringankan beban kos pengangkutan bagi golongan OKU dan pelajar sekolah yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang, Utara, dan Shuttle Timuran selain mengalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam.
Cara Mandaftar MyRail5
Bagi pendaftaran MyRail5 ini, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web di pautan bit.ly/2KJXu2c.
- Klik bahagian ‘Sign Up Now.’
- Isi maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Sign Up.’
- Log masuk dengan memasukkan email dan kata laluan yang didaftarkan.
- Pergi ke menu ‘Rail Pass’ dan klik bahagian ‘Special Registeration.’
- Isi maklumat yang diperlukan dan muat naik dokumen yang diperlukan.
- Klik butang ‘Submit’ untuk melengkapkan pendaftaran.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai tambang percuma tren KTMB untuk OKU dan pelajar sekolah, sila layari aman web https://www.ktmb.com.my/ atau https://www.mot.gov.my/my.