Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah mengumumkan untuk mengisytiharkan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga selama 6 bulan.
Tempoh pelaksanaan Wilayah Bebas Berniaga ini akan bermula pada 15 November 2020 hingga 15 April 2021 dan para peniaga perlu memohon Lesen Perniagaan Sementara daripada pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban warga Wilayah Persekutuan dan menggalakkan mereka terlibat dalam perniagaan yang boleh memberikan pendapatan kepada mereka.
Walau bagaimanapun, kebenaran untuk melakukan aktiviti perniagaan ini masih tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh PBT khususnya daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj)
Oleh itu, orang ramai yang berminat boleh membuat permohonan untuk mendapatkan Lesen Perniagaan Sementara bermula 15 November 2020 secara percuma.
Syarat Am Permohonan
Permohonan bagi Wilayah Bebas Berniaga ini tertakluk kepada syarat am permohonan oleh DBKL dan PPj.
Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, syarat am yang ditetapkan oleh DBKL adalah seperti berikut:
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
- Pemohon berumur 18 tahun ke atas (penglibatan warga asing adalah dilarang dan menjadi satu kesalahan).
- Membuat permohonan secara dalam talian di atau menghantar borang yang lengkap diisi beserta dokumen sokongan yang diperlukan.
Untuk Putrajaya, syarat am yang ditetapkan PPj adalah seperti berikut:
- Pemohon mestilah warga atau penduduk Putrajaya sahaja.
- Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan Penjaja Kecil Sementara (Borang PKS6B) atau memohon secara atas talian.
- Mematuhi Garis Panduan Zon Penjaja Sementara Putrajaya.
-Perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pemilik bangunan /tapak/lokasi
– Hanya Jualan kering dan makanan siap bungkus sahaja
– Bersetuju Mematuhi Konsep ‘Take Away’ sahaja
– Tiada aktiviti memasak/menggoreng di tapak
– Tidak menimbulkan gangguan lalu lintas/trafik.
– Mengutamakan keselamatan pelanggan.
– Memastikan kebersihan tapak berniaga sepanjang tempoh beroperasi.
– Waktu perniagaan perlu ditamatkan pada jam 10.00 malam (selaras dengan arahan semasa MKN)
Syarat Lesen Wilayah Bebas Berniaga
Bagi syarat lesen, pemohon perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh DBKL dan PPj.
Untuk syarat lesen bagi DBKL, syarat tersebut adalah seperti berikut:
- Lesen terhad kepada satu orang satu lokasi sahaja (Penjaja yang mempunyai lesen sedia ada tidak dibenarkan memohon).
- Keutamaan diberikan kepada pemastautin di Kuala Lumpur.
- Jualan secara bungkus sahaja (take away).
- Peniaga hendaklah sentiasa berada di tapak.
- Tiada warga asing dibenarkan terlibat dalam aktiviti perniagaan.
- Peniaga perlu mengambil suntikan typhoid (makanan/minuman sahaja).
- Peniaga tidak dibenarkan membina sebarang struktur semi kekal/kekal.
- Tidak dibenarkan meletakkan kerusi/meja untuk pelanggan.
- Peniaga mestilah memastikan kebersihan di sekitar tapak perniagaan semasa dan selepas perniagaan.
- Peniaga perlu menyediakan tong sampah yang bertutup secukupnya di sekitar lokasi perniagaan.
- Memastikan tiada sampah ditinggalkan selepas tamat masa perniagaan.
- Tidak dibenarkan mencuci peralatan di tapak perniagaan.
- Mengosongkan tapak perniagaan selepas waktu perniagaan.
- Mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh KKM dan MKN.
- Pemegang lesen tertakluk kepada UUK Pelesenan Penjaja WPKL 2016.
Selain itu, bagi syarat lesen PPj pula, syarat-syarat yang ditetapkan adalah seperti berikut:
- Jualan berkonsepkan take away sahaja.
- Tiada kerusi/meja atau Dine in yang dibenarkan di tapak berniaga.
- Peniaga dan pekerja mestilah berumur 60 tahun kebawah sahaja.
- Peniaga dan pekerja mestilah bebas COVID-19 dan dalam keadaan yang sihat.
- Peniaga, pekerja dan pemborong bukan dari zon merah.
- Mematuhi SOP MKN/KKM (QR code My sejahtera, Semakan Suhu, Penjarakkan Sosial).
- Peniaga, pekerja, dan pelanggan diwajibkan memakai pelitup muka atau face mask.
- Transaksi tanpa sentuhan (cashless/ e-wallet) digalakkan.
- Mendapat kelulusan PPj sebelum memulakan perniagaan.
- Kebersihan dan sanitasi kawasan perniagaan sepanjang beroperasi.
- Tidak dibenarkan meninggalkan barangan jualan ditapak dan memastikan tapak kembali kepada asal selepas waktu operasi.
Lokasi/Tapak Perniagaan
Aktiviti perniagaan yang ingin dilakukan perlulah dilakukan di lokasi atau tapak yang dibenarkan.
Bagi Kuala Lumpur, lokasi atau tapak perniagaan perlulah:
- Tertakluk kepada kelulusan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
- Bagi tapak dalam tanah/kawasan persendirian/ bangunan/kompleks kerajaan perlu mendapat kebenaran pemilik atau pihak pengurusan.
Untuk Putrajaya, pemohon hendaklah mendapat surat kebenaran bertulis daripada pemilik bangunan/tanah/ Kawasan, ruang serta
badan pengurusan (JMB/MC bagi Premis pemilikan Awam atau
swasta yang melibatkan:
- Kuarters Kerajaan
- Bangunan/Kompleks kerajaan atau swasta
- Bangunan berstrata
- Kaki lima kedai/premis persendirian
Jenis Aktiviti Perniagaan
Aktiviti perniagaan yang dibenarkan untuk dijalankan oleh para peniaga adalah seperti berikut:
- Makanan dan minuman (aktiviti menggoreng/memasak dalam skala kecil adalah dibenarkan dengan syarat hanya penggunaan 1 tungku dapur sahaja).
- Barangan Kering (pakaian, kasut dan sebagainya).
- Buah-buahan.
- Barangan mentah/basah.
Walau bagaimanapun, terdapat aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan seperti:
- Barangan kawalan seperti tembakau, bahan letupan,
‘vape’, alkohol, dan lain-lain yang menyalahi undang-undang. - Perkhidmatan dan sewaan seperti ‘kiddy ride’, urutan, judi,
gunting rambut, basikal dan sebagainya.
Cara Memohon
Terdapat dua kaedah permohonan yang boleh dilakukan untuk mendapatkan Lesen Perniagaan Sementara iaitu secara atas talian dan melalui borang permohonan.
- Permohonan atas talian
i) Kuala Lumpur: https://elesen.dbkl.gov.my
ii) Putrajaya: https://elesen.ppj.gov.my - Permohonan melalui borang permohonan (manual)
i) Kuala Lumpur:
– Muat turun borang melalui link https://docs.google.com/viewer?url=https%3A%2F%2Felesen.dbkl.gov.my%2Felesennew%2FForms%2FBorang%2520Lesen%2520Sementara%2520KL%2520Prihatin%25201.pdf
– Isi borang dengan lengkap dan betul.
– Sediakan dokumen yang merangkumi:
a) Salinan kad pengenalan
b) Pelan lokasi
c) 1 gambar lokasi
d) Surat kebenaran pemilik tanah/bangunan/kompleks (jika berkaitan)
– Hantar borang permohonan dan dokumen ke:
a) Bagi lokasi awam/persendirian, borang tersebut perlu dihantar ke pejabat cawangan DBKL mengikut parlimen.
b) Bagi lokasi di Projek Perumahan Awam (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang diselia oleh DBKL, borang perlu dihantar ke pejabat zon perumahan yang berdekatan.
ii) Putrajaya:
– Muat Turun Borang melalui link https://drive.google.com/file/d/1Dim4lJw_zu8r8QKmVhS2MPqALB_u8SC_/view?fbclid=IwAR2zToEmpC8AwBrQhI7U7YL73mAW_v9ePqj9h6wVEFRPAkVtJpAf_GPf6ag
– Isi borang dengan lengkap dan betul.
– Sediakan dokumen yang merangkumi:
a) 1 Salinan Kad Pengenalan Pemohon
b) 1 Salinan surat kebenaran pemilik bangunan/lokasi/tapak
c) 1 salinan Pelan Lokasi Tapak/susun atur A4
d) 1 Salinan Gambar Lokasi Tapak (4 keping-depan, belakang, kiri, kanan)
– Hantar borang permohonan beserta dokumen sama ada melalui emel ke [email protected] atau ke alamat:
Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan, Blok B, Aras 5, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Kompleks Perbadanan Putrajaya Persiaran Perdana, Presint 3,
62675, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Pertanyaan Lanjut
Bagi pemohon yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai inisiatif Wilayah Bebas Berniaga, sila hubungi pihak DBKL 03 – 20282000/26179000 atau pihak PPj 03-8887 7657/7265/7215/7231.