Inovator atau usahawan B40, perusahaan mikro dan juga sektor informal yang mempunyai produk inovasi inklusif berimpak tinggi dialu-alukan memohon Program Inklusif Ekosistem PKS (i-SEE) bagi mendapatkan Geran Pembangunan Inovasi sehingga RM200,000.
Untuk makluman, i-SEE adalah Program kerjasama di antara SME Corp. Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang bertujuan meningkatkan jangkauan inovasi melibatkan komuniti B40, perusahaan mikro dan juga sektor informal bagi aktiviti pengkomersialan.
Program ini adalah kesinambungan daripada Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Program Inovasi Inklusif yang telah dilaksanakan dari tahun 2015 dan tamat pada tahun 2020 selari dengan berakhirnya Pelan Induk PKS 2012 – 2020.
Tujuan program ini diwujudkan adalah untuk memberi peluang kepada produk inovasi inklusif yang berimpak tinggi untuk dikomersialkan bagi penjanaan pendapatan kepada usahawan yang berpotensi.
Oleh itu, Pihak SME Corp. Malaysia dan YIM mengalu-alukan penyertaan daripada inovator atau usahawan yang sedang membangunkan produk inovasi inklusif yang berimpak tinggi untuk memohon program ini.
Geran Pembangunan Inovasi
Menerusi program ini, inovator atau usahawan akan menerima pembiayaan melalui Geran Pembangunan Inovasi sehingga RM200,000.
Skop geran ini adalah seperti berikut:
- Perlindungan harta intelek
- Rekabentuk konsep dan pembangunan prototaip
- Pembuatan prototaip
- Pengujian produk
- Pensijilan pengawal seliaan
Bidang Tumpuan
Bidang tumpuan bagi inovator dan usahawan yang ingin memohon program ini adalah seperti berikut:
- Utiliti
- Kesihatan
- Teknologi dan sistem pintar
- Alam sekitar dan biodiversiti
- Pendidikan
- Produktiviti
- Bantuan pembangunan kapasiti
- Latihan dan bimbingan perniagaan
Cara Memohon
Permohonan program ini boleh dibuat menerusi langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://iic.innomap.my/.
- Klik butang ‘Daftar Akaun.’
- Isi maklumat diri dan muat naik gambar profil serta klik butang ‘Daftar Akaun.’
- Daftar masuk dengan memasukkan email dan kata laluan.
- Ikuti arahan permohonan dan hantar.
Pertanyaan Lanjut
Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut mengenai i-SEE, sila email kepada [email protected] dan [email protected].