Advertisements

Senarai Bantuan Kerajaan Yang Diumumkan Dalam Belanjawan 2019

Berikut adalah senarai bantuan kerajaan yang telah pun diumumkan ketika sesi pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu.

Insentif ini lebih memfokuskan golongan sasar / golongan B40 — iaitu mereka yang berpendapatan RM3,860 sebulan ke bawah.

Untuk ringkasan belanjawan anda boleh baca artikel Intipati Belanjawan 2019 ini.

Baca juga: Senarai Bantuan Yang Diumumkan Kerajaan Sepanjang 2018

Bantuan Sara Hidup

Umum sedia maklum kerajaan di bawah Pakatan Harapan telah memansuhkan pemberian BR1M dan digantikan dengan Bantuan Sara Hidup yang telah ditambah baik dari semasa ke semasa.

Kini terdapat empat kategori penerima BSH iaitu:

  1. Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
  2. Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.
  3. Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
  4. Kadar tambahan sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah tetapi terhad kepada 4 orang, kecuali anak kurang upaya yang tidak dihadkan umur.

Dana Rumah Mampu Milik

Sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan melalui Dana Rumah Mampu Milik bagi membantu golongan yang memiliki pendapatan RM2,300 sebulan dan ke bawah untuk memiliki rumah pertama melalui pembelian rumah mampu milik berharga RM150,000 dan ke bawah.

Dana ini akan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana untuk memohon dana tersebut, sila rujuk artikel Dana Rumah Mampu Milik BNM.

Subsidi Elektrik

Jika sebelum ini kadar subsidi bil elektrik isi rumah yang ditetapkan pada RM20 kini kadar tersebut dinaikkan kepada RM40.

Namun, subsidi ini hanya akan disalurkan khusus kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar di bawah program e-Kasih.

Dana Perlindungan Kesihatan

Melalui dana perlindungan kesihatan, golongan B40 bakal menikmati perlindungan percuma bagi empat penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari bersamaan RM700 setahun.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan program saringan percuma pengesanan kanser payu dara (mamogram), program vaksinasi Human papilloma virus (HPV) dan ujian saringan pap smear di hospital dan klinik kerajaan.

Subsidi Minyak Bersasar

Mekanisme subsidi minyak bersasar membolehkan pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Namun ianya hanya terhad kepada kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

Buat masa sekarang belum ada sebarang maklumat bagaimana mekanisme ini akan dilaksanakan. Cuma terdapat beberapa cadangan agar ianya dilakukan melalui pemberian kad khas.

Lain-Lain Bantuan Kerajaan

Selain daripada bantuan kerajaan di atas, terdapat beberapa bantuan lain yang disediakan untuk rakyat Malaysia menjelang tahun baru 2019.

Antara yang menarik — bantuan RM100 pas bulanan pengangkutan awam + RM50 pas bulanan bas.

Anda yang berminat boleh mohon bantuan tersebut bermula Disember depan.

Untuk maklumat lanjut boleh rujuk artikel ini.